Kamis, 13 September 2012

4: ALLAH S.W.T MENGATUR SEGALA URUSAN

TENANGKAN HATIMU DARI URUSAN TADBIR KERANA APA YANG DIATUR OLEH
SELAIN-MU TENTANG URUSAN DIRIMU, TIDAK PERLU ENGKAU CAMPUR TANGAN.

Kita bertauhid melalui dua cara, pertama bertauhid dengan akal dan keduanya
bertauhid dengan hati. Bidang akal ialah ilmu dan liputan ilmu sangat luas,
bermula dari pokok kepada dahan-dahan dan seterusnya kepada rantingranting.
Setiap ranting ada hujungnya, iaitu penyeleaiannya. Ilmu bersepakat
pada perkara pokok, bertolak ansur pada cabangnya dan berselisih pada
rantingnya atau penyelesaiannya. Jawapan kepada sesuatu masalah selalunya
berubah-ubah menurut pendapat baharu yang ditemui. Apa yang dianggap
benar pada mulanya dipersalahkan pada akhirnya. Oleh sebab sifat ilmu yang
demikian orang awam yang berlarutan membahas tentang sesuatu perkara boleh
mengalami kekeliruan dan kekacauan fikiran. Salah satu perkara yang mudah
mengganggu fikiran ialah soal takdir atau Qadak dan Qadar. Jika persoalan ini
diperbahaskan hingga kepada yang halus-halus seseorang akan menemui
kebuntuan kerana ilmu tidak mampu mengadakan jawapan yang konkrit.
Qadak dan Qadar diimani dengan hati. Tugas ilmu ialah membuktikan
kebenaran apa yang diimani. Jika ilmu bertindak menggoyangkan keimanan
maka ilmu itu harus disekat dan hati dibawa kepada tunduk dengan iman.
Kalam Hikmat keempat di atas membimbing ke arah itu agar iman tidak
dicampur dengan keraguan.


Selama nafsu dan akal menjadi hijab, beriman kepada perkara ghaib dan
menyerah diri secara menyeluruh tidak akan dicapai. Qadak dan Qadar
termasuk dalam perkara ghaib. Perkara ghaib disaksikan dengan mata hati atau
basirah. Mata hati tidak dapat memandang jika hati dibungkus oleh hijab nafsu.
Nafsu adalah kegelapan, bukan kegelapan yang zahir tetapi kegelapan dalam
keghaiban. Kegelapan nafsu itu menghijab sedangkan mata hati memerlukan
cahaya ghaib untuk melihat perkara ghaib. Cahaya ghaib yang menerangi alam
ghaib adalah cahaya roh kerana roh adalah urusan Allah s.w.t. Cahaya atau nur
hanya bersinar apabila sesuatu itu ada perkaitan dengan Allah s.w.t.
Allah adalah cahaya bagi semua langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )
Dialah Yang Maha Tinggi darjat kebesaran-Nya, yang mempunyai Arasy (yang
melambangkan keagungan dan kekuasaan-Nya); Ia memberikan wahyu darihal perintah-
Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya (yang telah
dipilih menjadi Rasul-Nya), supaya Ia memberi amaran (kepada manusia) tentang hari
pertemuan, - ( Ayat 15 : Surah al-Mu’min )

Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) – Al-Quran sebagai
roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui
(sebelum diwahyukan kepadamu); apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga
mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang
menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara
hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi
petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus, - Iaitu jalan Allah yang memiliki
dan menguasai yang ada di langit dan yang ada di bumi. Kepada Allah jualah kembali
segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Apabila cahaya roh berjaya menghalau kegelapan nafsu, mata hati akan
menyaksikan yang ghaib. Penyaksian mata hati membawa hati beriman kepada
perkara ghaib dengan sebenar-benarnya.
Allah s.w.t telah menghamparkan jalan yang lurus kepada hamba-hamba-Nya
yang beriman. Dia berfirman:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku cukupkan
nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu. (
Ayat 3 : Surah al-Maa’idah )
Umat Islam adalah umat yang paling bertuah kerana Allah s.w.t telah
menyempurnakan nikmat-Nya ke atas mereka dengan mengurniakan Islam.
Allah s.w.t menjamin juga bahawa Dia reda menerima Islam sebagai agama
mereka. Jaminan Allah s.w.t itu sudah cukup bagi mereka yang menuntut
keredaan Allah s.w.t untuk tidak menoleh ke kiri atau ke kanan, sebaliknya terus
berjalan mengikut landasan yang telah dibina oleh Islam. Islam adalah
perlembagaan yang lengkap mencakupi semua aspek kehidupan baik yang zahir
mahupun yang batin. Islam telah menjelaskan apa yang mesti dibuat, apa yang
mesti tidak dibuat, bagaimana mahu bertindak menghadapi sesuatu dan
bagaimana jika tidak mahu melakukan apa-apa. Segala peraturan dan kod etika
sudah dijelaskan dari perkara yang paling kecil hingga kepada yang paling
besar. Sudah dijelaskan cara beribadat, cara berhubungan sesama manusia, cara
membahagikan harta pusaka, cara mencari dan membelanjakan harta, cara
makan, cara minum, cara berjalan, cara mandi, cara memasuki jamban, cara
hukum qisas cara melakukan hubungan kelamin, cara menyempurnakan mayat
dan semua aspek kehidupan diterangkan dengan jelas.
Umat Islam tidak perlu bertengkar tentang penyelesaian terhadap sesuatu
masalah. Segala penyelesaian telah dibentangkan, hanya tegakkan iman dan
rujuk kepada Islam itu sendiri nescaya segala pertanyaan akan terjawab.
Begitulah besarnya nikmat yang dikurniakan kepada umat Islam. Kita perlulah
menjiwai Islam untuk merasai nikmat yang dikurniakan itu. Kewajipan kita
ialah melakukan apa yang telah Allah s.w.t aturkan sementara hak mengatur
atau mentadbir adalah hak Allah s.w.t yang mutlak. Jika terdapat peraturan
Allah s.w.t yang tidak dipersetujui oleh nafsu kita, jangan pula melentur
peraturan tersebut atau membuat peraturan baharu, sebaliknya nafsu hendaklah
ditekan supaya tunduk kepada peraturan Allah s.w.t. Jika pendapat akal sesuai
dengan Islam maka yakinilah akan kebenaran pendapat tersebut, dan jika
penemuan akal bercanggah dengan Islam maka akuilah bahawa akal telah
tersilap di dalam perkiraannya. Jangan memaksa Islam supaya tunduk kepada
akal semasa yang akan berubah pada masa yang lain, tetapi tundukkan akal
kepada apa yang Tuhan kata yang kebenarannya tidak akan berubah sampai
bila-bila.
Orang yang mengamalkan tuntutan Islam disertai dengan beriman kepada
Qadak dan Qadar, jiwanya akan sentiasa tenang dan damai. Putaran roda
kehidupan tidak membolak-balikkan hatinya kerana dia melihat apa yang
berlaku adalah menurut apa yang mesti berlaku. Dia pula mengamalkan kod
yang terbaik dan dijamin oleh Allah s.w.t. Hatinya tunduk kepada hakikat
bahawa Allah s.w.t yang mentadbir sementara sekalian hamba berkewajipan taat
kepada-Nya, tidak perlu masuk campur dalam urusan-Nya.
Mungkin timbul pertanyaan apakah orang Islam tidak boleh menggunakan akal
fikiran, tidak boleh mentadbir kehidupannya dan tidak boleh berusaha
membaiki kehidupannya? Apakah orang Islam mesti menyerah bulat-bulat
kepada takdir tanpa tadbir?
Allah s.w.t menceritakan tentang tadbir orang yang beriman
Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka, sebelum memeriksa
tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin), kemudian ia mengeluarkan benda yang
hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami
jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat
mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki
oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa
yang Kami kehendaki; dan tiap-tiap yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang
lebih mengetahui. (Ayat 76 : Surah Yusuf )
Dan kepunyaan-Nya jualah kapal-kapal yang berlayar di lautan laksana gunungganang.
(Ayat 24 : Surah ar-Rahmaan )
Nabi Yusuf a.s, dengan kepandaiannya, mengadakan muslihat untuk membawa
saudaranya, Bunyamin, tinggal dengannya. Kepandaian dan muslihat yang pada
zahirnya diatur oleh Nabi Yusuf a.s tetapi dengan tegas Allah s.w.t mengatakan
Dia yang mengatur muslihat tersebut dengan kehendak dan kebijaksanaan-Nya.
Kapal yang pada zahirnya dibina oleh manusia tetapi dengan tegas Allah s.w.t
mengatakan kapal itu adalah kepunyaan-Nya. Ayat-ayat di atas memberi
pengajaran mengenai tadbir yang dilakukan oleh manusia.
Rasulullah s.a.w sendiri menganjurkan agar pengikut-pengikut baginda s.a.w
mentadbir kehidupan mereka. Tadbir yang disarankan oleh Rasulullah s.a.w
ialah tadbir yang tidak memutuskan hubungan dengan Allah s.w.t, tidak
berganjak dari tawakal dan penyerahan kepada Tuhan yang mengatur
pentadbiran dan perlaksanaan. Janganlah seseorang menyangka apabila dia
menggunakan otaknya untuk berfikir maka otak itu berfungsi dengan sendiri
tanpa tadbir Ilahi. Dari mana datangnya ilham yang diperolehi oleh otak itu jika
tidak dari Tuhan? Allah s.w.t yang membuat otak, membuatnya berfungsi dan
Dia juga yang mendatangkan buah fikiran kepada otak itu. Tadbir yang
dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah tadbir yang sesuai dengan al-Quran dan
as-Sunah. Islam hendaklah dijadikan penapis untuk mengasingkan pendapat
dan tindakan yang benar dari yang salah. Islam menegaskan bahawa sekiranya
tidak kerana daya dan upaya dari Allah s.w.t, pasti tidak ada apa yang dapat
dilakukan oleh sesiapa pun. Oleh yang demikian seseorang mestilah
menggunakan daya dan upaya yang dikurniakan Allah s.w.t kepadanya
menurut keredaan Allah s.w.t. Seseorang hamba Allah s.w.t tidak sepatutnya
melepaskan diri dari penyerahan kepada Allah Yang Maha Mengatur. Apabila
apa yang diaturkannya berjaya menjadi kenyataan maka dia akui bahawa
kejayaan itu adalah kerana persesuaian aturannya dengan aturan Allah s.w.t.
Jika apa yang diaturkannya tidak menjadi, diakuinya bahawa aturannya wajib
tunduk kepada aturan Allah s.w.t dan tidak menjadi itu juga termasuk di dalam
tadbir Allah s.w.t. Hanya Allah s.w.t yang berhak untuk menentukan. Allah s.w.t
Berdiri Dengan Sendiri, tidak ada sesiapa yang mampu campur tangan dalam
urusan-Nya.

Tidak ada komentar:

Agen pulsa all operator

 SUPER TELKOMSEL PROMO ======================= 🍒 TMP5 = 4.975 🍒 TMP10 = 9.975 SUPER INDOSAT PROMO =============== 🧀 IMS5 = 5.395 🧀 IMS10...