Selagi  masih bernafas, segeralah bertaubat kepada Allah SWT. Masih belum  terlambat lagi melakukan sekarang. Jangan tunggu esok, minggu  depan,bulan depan atau sudah bersedia baru nak bertaubat. Takut tak  sempat nanti, bila-bila masa sahaja ajal kita boleh diambil oleh  sakaratul maut. Pada masa itu tertutupnya pintu taubat maka mati anak  adam itu sia-sia sahaja. 
Sabda Nabi SAW:
“Sesiapa yang bertaubat kepada Allah sebelum rohnya berada di kerongkong (Sakaratul maut), maka Allah menerima taubatnya”.
ALLAH SWT sentiasa memerintahkan kita supaya bertaubat, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 
“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenar.” (At-Tahrim: 8.)
Allah SWT telah membuka pintu harapan kepada hamba-hambaNya: 
“Katakanlah; wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Az-Zumar: 53)
Syarat-syarat taubat:
- Ikhlas ingin bertaubat.
- Tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi.
- Menyesal atas perbuatan yang telah dilakukan.
- Harus mempunyai tekad di dalam hati tidak akan melakukan dosa itu untuk selama-lamanya.
- Dikerjakan sebelum ajal tiba.
Jika  salah satu syarat tidak dipenuhi, maka taubat yang dilakukan itu  tidaklah sah. Jika dosa berkaitan dengan manusia yang lain, maka  syaratnya ditambah lagi, iaitu harus dapat membebaskan diri dari hak  orang yang berkaitan. Contohnya jika hal itu berbentuk harta, harus  dikembalikan. Jika berbentuk hukuman, ia harus menyerahkan diri mohon  dimaafkan. Jika hal berupa cacian dan sebagainya, maka ia harus memohon  keredhaannya.
Waktu melaksanakan taubat
Taubat  tidak boleh diundur-undur atau ditunda. Kerana jika demikian ia sangat  berbahaya bagi hati manusia. Jika tidak segera menyucikan diri sedikit  demi sedikit, maka pengaruh dosa itu akan bertompok-tompok, dan akhirnya  akan merosakkan hati sehingga tertutup dari cahaya kebenaran.
Di  antara penyebab yang akan membangkitkan jiwa bertaubat seseorang itu  adalah jiwa yang selalu mengingati hari kematian dan hidup bersendirian  di dalam kubur. Kata-kata mati adalah sesuatu yang sangat menakutkan  kebanyakan manusia. Mati ber-erti berpisah dengan segala yang disayangi  atau dicintai. Hari terputusnya segala nikmat. Sedangkan berpisah  sebentar sahaja dengan anak atau isteri, dapat mengalirkan air mata  kesedihan, apa lagi berpisah untuk selamanya.
Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya kamu akan mati dan sesungguhnya mereka akan mati pula.” (Az-Zumar: 30)
Di  samping mengingat tentang azab penderitaan yang bakal dihadapi oleh  orang-orang yang berdosa mengingat kenikmatan syurga yang bakal  ditempati oleh orang-orang yang soleh juga akan dapat membangkitkan  keinginan jiwa untuk melakukan taubat dengan segera.
Cara melaksanakan solat taubat
Cara  melaksanakan solat taubat ini sama dengan solat biasa, iaitu setelah  berwuduk dengan sempurna, lalu berdiri di tempat yang suci, menghadap  kiblat;
Waktu  di lakukan, bila-bila masa merasa telah berbuat dosa (kecuali waktu  makruh tahrim utk melakukan solat)*. Sebaik-baiknya 2/3 malam (pukul 2  pagi ke atas), semasa Qiyamullail
Lafaz niat: 
أصَلِّي سُنَّةَ التَوبَةِ رَكَعَتَيْنِ لِلهِ تَعالىَ 
Usalli sunnatal Taubati rak'ataini lillahi ta'ala.
Ertinya: 
"Sahaja aku sembahyang sunat Taubat dua rakaat kerana Allah Ta'ala."
Bacaan Dalam Solat
1.  Rakaat pertama membaca (disunatkan membaca doa Iftitah) kemudian surah  Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran. (Surah  Al-Kafirun).
2. Rakaat kedua membaca surah Al-Fatihah. Selepas itu mana2 ayat atau surah dalam al-Quran (Surah Al-Ihklas).
Semasa  sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali  (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
Ertinya: 
“Tidak ada Tuhan selain Engkau. Maha Suci Engkau Ya Allah, sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.”
Selepas salam, perbanyakkan istighfar berikut:
Ertinya: 
Ampunilah  hamba Ya Allah. Tuhan yang Maha Agung. Tiada Tuhan yang lain melainkan  hanya Engkau. Dialah Tuhan yang Maha Hidup lagi Maha Perkasa dan hamba  bertaubat kepada Engkau ya Allah, dan berdoa dengan Penghulu Istighfar,
Ertinya: 
“Ya,  Allah Engkaulah Tuhanku, Tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang  menjadikan aku. Sedang aku adalah hamba-Mu dan aku di dalam genggaman-Mu  dan di dalam perjanjian setia ( beriman dan taat ) kepada-Mu sekuat  mampuku. Aku berlindung kepada-Mu dari kejahatan yang telah ku lakukan.  Aku mengakui atas segala nikmat yang telah Engkau berikan kepada ku dan  aku mengaku segala dosaku. Maka ampunilah aku. Sesungguhnya tidak ada  yang dapat mengampuni segala dosa kecuali Engkau.”



Tidak ada komentar:
Posting Komentar